Polis siasat hantaran Facebook Chegu Bard kaitkan KBS dengan gerakan Kristian
POLIS membuka kertas siasatan susulan laporan yang diterima membabitkan satu hantaran Facebook yang mengaitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan gerakan ‘Kristian Evangelist’.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata hantaran melalui Facebook Che’gu Bard Original itu turut menuduh KBS menyalurkan dana kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyeru belia bukan Kristian ke gereja.
Menurutnya, semakan pihaknya mendapati hantaran itu telah menerima 544 komen, 377 kongsi dan 448 respon sejak dimuatnaik tiga hari lalu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau mengulas isu tersebut secara provokasi yang mungkin boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran awam melalui isu-isu menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan setiausaha politiknya membuat laporan polis pada Isnin lalu terhadap pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali dengan panggilan Chegu Bard.
Laporan polis itu adalah terhadap hantaran di Facebook Che’gu Bard Original yang didakwa mengaitkan KBS dengan ‘Kristian Evangelist’.
Menurut Hannah, fitnah itu ditularkan dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp dengan memberikan gambaran bahawa agensi KBS sekarang ini menjadi Kristian Evengelist selepas beliau menjadi Menteri Belia. – Malaysiapost