Polis tembak isteri minta lawat kubur

Polis tembak isteri minta lawat kubur

ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal yang didakwa membunuh isterinya di Simpang Empat, Kangar pada 5 Mac lalu, meminta kebenaran untuk menziarahi kubur wanita berkenaan.

“Saya nak cakap satu sahaja, saya nak melawat kubur bini (isteri) saya,” katanya ketika dibawa keluar dari kandang pesalah Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Nizarman Hassim, 27, hanya menjawab faham selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, lapor Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Nizarman didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar sekitar jam 6.45 pagi dan 8.50 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Nordin kemudian memohon mahkamah untuk mempertimbangkan supaya tertuduh dihantar ke hospital psikiatri untuk penilaian mental selama sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan penilaian psikiatri tertuduh.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menembak mati isterinya yang juga suri rumah.

Tertuduh dikatakan mengeluarkan pistol Walther P99 dan melepaskan lebih lima das tembakan pada jarak dekat ke arah isterinya.

Tembakan mengenai bahagian muka terutama di bahagian mata sebelah kiri menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian. – Malaysiapost

Komen