Polis terima 2 laporan ugut kru filem ‘Mentega Terbang’
POLIS mengesahkan menerima dua laporan berkaitan kes jenayah khianat harta benda dan ugutan jenayah daripada dua kru penerbitan filem ‘Mentega Terbang’, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata seorang daripada kru itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang selepas keretanya jenis Proton Saga disimbah cat.
Hussein berkata, mangsa turut menjumpai helaian kertas nota tulisan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawanya di tempat letak kereta di Taman Dagang Jaya, Ampang pada jam 6.30 pagi.
Katanya, seorang lagi kru filem berkenaan membuat laporan polis di IPD Kajang pada 7 pagi selepas pengadu mendakwa kenderaannya telah dibaling dengan plastik lutsinar berisi cecair cat pada jam 3.15 pagi.
“Turut ditemukan satu sampul surat warna putih yang ditulis perkataan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu,” katanya dalam kenyataan.
Hussein berkata, susulan dua laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya dan IPD Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara. Polis mengambil serius kejadian ini dan akan menyiasat sehingga mereka yang terlibat ditahan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung dengan kedua-dua kejadian itu agar tampil membantu pihak polis.
“Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mu’az Mazlan menerusi talian 017-9788804 IPD Kajang dan Insp Alif 018-9834211 IPD Ampang bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost