Umno perlu lebih progresif, jangan bernostalgia – Azalina
UMNO perlu lebih progresif untuk terus kekal relevan kepada pengundi Melayu masa kini, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurutnya, parti itu tidak boleh lagi mengambil pendekatan bernostalgia yang “romantik” dan “emosional” serta perlu memahami kehendak semasa.
“Orang Melayu di luar sana bukan orang Melayu tahun 1946, orang Melayu hari ni bukan orang Melayu zaman Tun Razak Hussein, bukan zaman Tun Dr Mahathir Mohamad. Orang Melayu hari ni adalah berbeza, ‘consumer market’ dah berubah.
“Kalau kita bercakap benda yang romantik, emosional yang sedap didengar, tak menjamin sokongan. Pengundi muda kini dia tengok elemen keadilan, tak mahu rasuah, tadbir urus yang baik dan sebagainya.
“Umno kena tukar ‘branding’, pendekatan parti politik Umno tidak lagi pada nostalgia hidup Umno, hidup Umno,” katanya dalam wawancara bersama media.
Umno mengalami kemerosotan sokongan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di bawah kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Ia menyaksikan buat kali pertama selepas 60 tahun mentadbir negara, Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH).
Prestasi Umno terus merosot dan mencatat keputusan paling teruk apabila BN hanya berjaya memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU-15 yang lalu.
Bagaimanapun Umno masih lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan apabila membentuk kerjasama dengan PH.
Mengulas lanjut, Azalina berkata Umno berdepan cabaran kerana orang Melayu kini mempunyai banyak pilihan dengan kewujudan lebih banyak parti berteraskan bangsa Melayu.
“Banyak parti politik Melayu sekarang, orang melihat banyak pilihan untuk orang Melayu. Kalau kita tengok dari segi ekonomi persaingan adalah sesuatu yang.
“Adalah sesuatu yang baik dengan adanya banyak parti yang menawarkan sesuatu yang baik (kepada orang Melayu). Kelebihan Umno adalah konsistensi Umno dalam perjuangan Umno,” katanya. – Malaysiapost