Uqasha Senrose lapor polis difitnah pembuli
BELUM habis trauma insiden suami Kamal Adli diserang individu tidak dikenali di Singapura, pelakon Uqasha Senrose sekali lagi berdepan ujian apabila dituduh menjadi pembuli di sekolah.
Enggan fitnah dilemparkan seorang wanita yang mengaku kononnya menjadi mangsa buli sejak zaman sekolah itu berpanjangan, Uqasha membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Uqasha berkata, dia juga melantik peguam bagi menguruskan kes tersebut serta tindakan susulan yang akan diambil terhadap pengadu berkenaan.
“Segalanya akan terjawab nanti dan pihak peguam akan buat siasatan terperinci. Saya pun hairan bagaimana dia boleh tuduh saya pernah buli dia?
“Bagi bukti. Kenapa kes (kalau benar) yang sudah berlaku sejak 15 tahun lepas baru nak dibongkarkan sekarang?.
“Saya tak pernah buli orang di sekolah sebab saya yang banyak berpindah sekolah,” katanya menerusi sesi perkongsian live di Tiktok.
Bagi menangkis tohmahan yang hanya bersumberkan sekeping gambar di sekolah, Uqasha mencabar pengadu mengemukakan segala bukti yang boleh mengaitkan dirinya sebagai pembuli.
“Apa niat awak? Sampai trending buruknya nama saya orang cakap saya kaki buli. Kenapa sekarang baru nak cerita? Kononnya macam-macam saya dah buat pada awak.
“Kak Yongnya saya, kuatnya saya sampai boleh buat awak jadi trauma. Awak tuduh saya kaki buli, talam dua muka sampai buat orang lain nak bunuh diri.
“Saya boleh kumpulkan guru-guru dan rakan-rakan sebab sekolah itu pun masih ada, betul ke saya ini pembuli?” soalnya.
Uqasha bagaimanapun menegaskan, serangan buli siber terhadap dirinya langsung tidak menjatuhkan semangat dan moralnya ketika dia sendiri berdepan dugaan besar dalam hidup.
Tegasnya, dia perlu kuat demi kesihatan mental diri sendiri serta suami tercinta yang memerlukan perhatian sepenuhnya.
“Awak tak berjaya buat saya lemah, sebaliknya awak buat saya lebih bersemangat.
“Awak kacau mental saya, siapa buli siapa sekarang? Mereka yang turut komen macam-macam di Twitter juga seolah-olah sudah kenal lama dengan saya sebenarnya buli siber terhadap saya,” katanya.
Semalam, nama Uqasha menjadi trending di Twitter selepas dikaitkan kes buli yang didakwa kononnya berlaku di sebuah sekolah, 15 tahun lalu. – Malaysiapost