Ahmad Maslan menang, namun perlu tunggu kiraan semula undi

Ahmad Maslan menang, namun perlu tunggu kiraan semula undi

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mencipta kejutan apabila menang jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian dalam Pemilihan Umno bagi penggal 2023-2026.

Timbalan Menteri Kewangan itu dilaporkan memperoleh 388 undi, berbanding lawannya Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga penyandang jawatan berkenaan dengan hanya meraih 291 undi.

Seramai 690 perwakilan daripada 117 cawangan terbabit dalam proses pemilihan kali ini yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Bagaimanapun difahamkan proses kiraan semula undi sedang berlangsung ketika ini.

Hasni yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian sejak 22 tahun lalu.

Ahmad sebelum ini adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian, dan mencabar jawatan Ketua Umno Bahagian itu.

Cabaran itu membuatkan pemilihan di Bahagian Umno Pontian adalah antara kerusi panas pada pemilihan kali ini.

Sekiranya kemenangan Ahmad disahkan, ia sekaligus menamatkan legasi Hasni yang memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Pontian selama 22 tahun. – Malaysiapost

Komen