Akta pendanaan politik boleh dilaksana menjelang PRN Sarawak

Akta pendanaan politik boleh dilaksana menjelang PRN Sarawak

Ben Ibrahim

AKTA Pendanaan politik boleh dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, jika diluluskan Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata sasaran itu berdasarkan perkembangan terbaharu berkaitan akta berkenaan akan dibentang semula untuk pertimbangan Kabinet.

“Tempoh kelulusan mengambil masa kerana ini membabitkan penggubalan akta baharu.

“Jadi kami yang sebelum ini berada dalam KRPPM (kumpulan rentas parti Parlimen Malaysia) meletakkan sasaran yang praktikal iaitu sebelum PRN Sarawak,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai bengkel pendanaan politik anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di Kuantan, hari ini.

Beliau menjelaskan akta itu tidak dapat diluluskan pada sesi Parlimen kali ini kerana sidang Dewan Rakyat akan berakhir pada 4 April.

“Berkemungkinan besar tidak sempat (untuk dibentangkan) kerana sidang Dewan Rakyat hanya tinggal kira-kira dua minggu lagi.

“Jadi akta ini mungkin boleh dibawa pada sidang dewan rakyat akan datang dan jika PRN (Sarawak) diadakan mengikut jadual biasa,” katanya.

Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu memberitahu, draf rang undang-undang daripada KRPPM sudah dikemukakan kepada setiausaha dewan rakyat pada 13 Julai tahun lalu namun tidak ada perkembangan.

“Perkara itu juga sudah dibincangkan semasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan dan kabinet bersetuju bahawa undang-undang sedemikian diperlukan.

“Tetapi tiada apa boleh dilakukan kerana parlimen dibubarkan pada 10 Oktober tahun lalu bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya. – Malaysiapost

Komen