Anwar arah pihak berkuasa tangkap pihak mainkan api perkauman
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pengkritik Kerajaan Perpaduan pimpinannya untuk memberi contoh pengkhianatan yang dilakukan terhadap Melayu dan Islam.
Beliau yang juga Presiden PKR, menegaskan kepimpinannya terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau nasihat untuk menambah baik pentadbirannya namun menolak sebarang unsur politik kebencian.

“Tiada guna tiap-tiap hari beri tazkirah, tapi maki orang kata khianat dan zalim. Saya nak tanya…sejak kita perintah November tahun lalu, bagi saya satu contoh kita khianat orang Melayu..bagi saya satu contoh kita nafikan hak orang Melayu..bagi saya satu contoh bagaimana kita khianat Islam? Tidak ada…yang ada hanya propaganda.
“Kalau bagi cadangan atau nasihat nak perbaiki kelemahan pentadbiran, saya terima dengan senang hati tapi nak guna politik adu domba termasuk guna api perkauman saya tidak tolak ansur,” katanya dalam ucapan penggulungan Kongres PKR, hari ini.
Anwar sekali lagi menegaskan mana-mana pihak boleh mengkritik kerajaan, namun jika menggunakan api perkauman atau fanatik agama hingga boleh menimbulkan huru-hara, beliau akan pastikan pihak berkenaan ditangkap.

Menjawab persoalan mengapa baru sekarang banyak pendakwaan membabitkan rasuah dibuat, Anwar berkata itu adalah tanggungjawab pemimpin terdahulu yang tidak dilakukan.
“Kenapa dahulu tiada pendakwaan rasuah? Ini kerana pemimpin dulu tiada yang bagi arahan. Paksi perjuangan kita adalah untuk membetulkan.
“Sistem sebelum ini terlalu banyak ketirisan, arahan saya tetap sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua hakim negara perlu bertindak secara adil, bebas dan berani. Siapa sakau kita tangkap,” katanya.
Anwar turut memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kezaliman terhadap sesiapa termasuk pemimpin pembangkang, dan tiada istilah pilih kasih dalam kerajaan perpaduan.
“Saya tidak pilih kasih, saya tidak akan lindungi menteri yang terlibat rasuah dan kalau terlibat rasuah jangan cari saya, ini termasuk dalam kalangan menteri PKR,” katanya. – Malaysiapost