Anwar berkecamuk, buat cerita yang bukan-bukan – Hamzah
KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengatakan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan kekacauan dalam negara, disifatkan sebagai tidak wajar.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berpendapat pemimpin yang mengeluarkan kenyataan sedemikian tidak sepatutnya wujud dalam negara ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), berkata Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang dilihatnya satu bentuk penghinaan kepada rakyat miskin negara ini.
“Mengapa mesti dia (Anwar) bawa hal orang miskin yang diupah. Saya rasa ini menjadi satu masalah yang paling besar dalam negara ini, bila pemimpin yang mula berkecamuk fikirannya dengan membuat cerita yang bukan-bukan.
“Pertamanya dia sedar bahawa rakyat miskin, sehinggakan pemikiran dia beranggapan bahawa orang miskin ini boleh diupah untuk buat apa saja…diupah untuk buat demonstrasi.
“Saya rasa ini merupakan pemikiran Perdana Menteri yang tak sepatutnya wujud dalam negara kita yang berbilang kaum,” katanya dalam satu video yang dikongsi dilaman Facebooknya malam ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Anwar dalam sidang media semalam, mendakwa terdapat usaha pihak yang kehilangan kuasa untuk menggunakan situasi semasa bagi mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.
Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan juga akan menggunakan rakyat miskin bagi menimbulkan suasana tidak harmoni dan pihaknya telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, Anwar sepatutnya mencari jalan menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan miskin menerusi bantuan yang perlu disalur kerajaan.
“Cari jalanlah untuk selesaikan masalah, bukan menuduh perkara yang bukan-bukan dengan menuduh perkara yang bukan-bukan. Ini boleh menyebabkan anak muda menjadi lagi marah.
“Dengan menuduh orang miskin boleh diupah untuk membuat demonstrasi jalanan juga boleh menyebabkan mereka lagi marah. Mereka sekarang makan pun susah, lagi nak suruh dia (demonstrasi),” katanya. – Malaysiapost