Anwar diselar kait rakyat miskin dengan upah lakukan kekacauan – Wan Fayhsal
KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kecewa dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menghina orang miskin apabila mengaitkan mereka dengan bayaran upah bagi melakukan kekacauan.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, Anwar seakan lupa rakyat yang turun ke dataran reformasi dan BERSIH satu ketika dahulu adalah di kalangan ahli PAS yang ikhlas menggunakan duit poket sendiri dari pelusuk tanah air.
Beliau berkata, pasti rakyat khususnya orang miskin akan berasa kecewa dan marah dengan kenyataan yang dikeluarkan Anwar.
“Hari itu Setiausaha Agung kamu (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) hina anak muda yang undi PN adalah yang tak belajar tinggi, main motor. Kali ini kamu (Anwar) pula hina orang miskin yang konon dibayar untuk berdemo.
“Kenapa awak gelisah sangat Datuk Seri (Anwar)? Apa yang para pembodek disekeliling kamu gagal lakukan ialah berkata benar yang pahit,” katanya menerusi Facebook.
Wah Ahmad Fayhsal berkata, Anwar akan kehilangan lebih banyak sokongan orang Melayu selepas 100 hari mentadbir negara.
“(Malah) kenyataan sedemikian akan menghakis lagi sokongan Melayu-Islam terhadap kerajaan walaupun anda sentiasa berusaha untuk menenangkan mereka dengan ‘Islamic optics’ ” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, rakyat miskin tidak bodoh sebaliknya pemimpin PH yang angkuh selepas diberi kuasa dan kedudukan.
Terdahulu, Perdana Menteri mendakwa terdapat usaha pihak yang kehilangan kuasa untuk menggunakan situasi semasa bagi mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.
Anwar berkata, pihak berkenaan berkenaan juga akan menggunakan rakyat miskin bagi menimbulkan suasana tidak harmoni.
“Saya telah arahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada kerana orang yang terdesak dan tercabar, akan menggunakan sentimen ini dan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan apa-apa juga kekacauan,” katanya. – Malaysiapost