Anwar ‘tak makan’ ugutan tumbangkan Kerajaan Perpaduan
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak gentar dengan ugutan pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya ketika ini.
Malah, Anwar yang ‘mempersilakan’ tindakan itu berkata, walaupun menerima pelbagai desakan, tekanan dan ugutan, beliau tidak gentar menghadapi sebarang serangan untuk menjatuhkannya, lapor Berita Harian.
Justeru katanya, beliau mengambil kesempatan melalui Kongres Khas PKR hari ini untuk ‘melepaskan’ apa yang tersemat dalam hatinya selepas ‘terpaksa’ bersabar dengan serangan selama empat bulan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Ini gelanggang saya (kongres) Parti Keadilan Rakyat. Empat bulan saya bersabar. Saya bicara secara teratur dan bicara sebagai seorang Perdana Menteri.
“Hari ini, saya bicara sebagai Presiden PKR, gerakan reformasi. Saudara mahu ugut kita dengan perhimpunan, mahu ugut (supaya) kita takut bertindak kepada orang perasuah sebab salah pilih seorang Perdana Menteri.
“Saya tak makan ugutan itu. Ada kuasa kita laksanakan. (Kalau) kamu cuba nak rampas (pentadbiran kerajaan) silakan tetapi tidak mudah.
“Kita siap dengan keris…membujur lalu melintang patah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Kongres Khas PKR, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerjasama Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan kerana mahu menyelamatkan rakyat.
“Sebagai meraikan sistem demokrasi, kita pilih untuk bekerjasama dengan Umno dan BN tetapi kita tidak pernah memilih mereka untuk bersama dengan ideologi dan prinsip kita.
“Alhamdulillah, dalam tempoh empat bulan pertama selepas membentuk Kerajaan Persekutuan, kita memberikan penumpuan sepenuhnya untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan 130,000 orang.
“Tetapi masih ada suara-suara sebelah sana mempertikaikan usaha kita sedangkan ketika mereka mentadbir sebelum ini, tidak ada apa yang dilakukan,” katanya. – Malaysiapost