Anwar yakin Kerajaan Perpaduan bertahan 5 tahun
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Kerajaan Perpaduan dipimpinnya akan terus kukuh dan bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Presiden PKR itu, keyakinannya bersandarkan sokongan kukuh parti yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan sejak empat bulan lalu.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada usaha untuk menganggu-gugat kestabilan kerajaan pimpinannya.
“Untuk kita mantap sebagai satu kerajaan lima tahun ini, kita perlu kerjasama padu supaya kita tumpu membetulkan kerosakan yang berlaku dan membangunkan negara dan rakyat.
“Usaha untuk menggugat sedikit sebanyak itu ada tetapi saya yakin Kerajaan Perpaduan akan terus kukuh dan kekal untuk lima tahun.
“Tanggungjawab kita bersama ialah menempatkan semangat perjuangan, menggilap obor reformasi dan jentera parti harus bergerak supaya agenda madani ini dapat diterjemahkan secara lebih serius dan bermakna,” katanya.
Beliau berucap pada perasmian Kongres Nasional Khas 2023 bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisma di Stadium Malawati, hari ini.
Pada masa sama, katanya, sepanjang lebih empat bulan kerajaan persekutuan dibentuk, tiada mana-mana pemimpin daripada parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang menyatakan bantahan terhadap kepimpinannya.
“Memang ada orang kritik. Tetapi saya nak sebut di sini, tanpa ragu, dan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri pun ada, belum ada sekali (yang membantah) termasuk soal kebebasan kehakiman, soal tender yang telus, atau projek-projek yang membantu rakyat atau menghalang sama sekali pemimpin memunggah kekayaan.
“Belum pernah sekali sepanjang lebih empat bulan kita berkuasa, di mana ada gangguan atau bantahan daripada mana-mana pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya. – Malaysiapost