Azwan Bro rampas kerusi Ketua Umno Bahagian Pasir Salak
PEMILIHAN Jawatankuasa Umno Bahagian Pasir Salak, menyaksikan Khairul Azwan Harun berjaya menewaskan Dr Faizal Tajuddin bagi jawatan Ketua Umno Bahagian yang baru.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi seperti dilaporkan Berita Harian, Khairul Azwan, 47, menang dengan majoriti 46 undi apabila memperoleh 342 undi.
Manakala Faizal yang juga anak bekas Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, meraih 296 undi.
Kemenangan itu sekali gus dilihat menamatkan legasi kepimpinan Tajuddin yang mengetuai bahagian itu selama 18 tahun sejak 2004.
Khairul Azwan yang sebelum ini calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, menitiskan air mata dan sujud syukur di Dewan FELCRA Seberang Perak jam 7.30 malam, sebaik keputusan tidak rasmi diketahui perwakilan.
Sementara itu, Dr Faizal memeluk Khairul Azwan sebelum meninggalkan dewan pemilihan berkenaan. – Malaysiapost