Fyna Jebat berbaik dengan madu selepas insiden ‘tarik rambut’
PENYANYI Fyna Jebat bersyukur kemelut membabitkan dia dengan madunya, Datin Zalina Zaini berakhir dengan baik selepas laporan polis insiden ‘tarik rambut’ ditarik semula.
Fyna atau nama sebenarnya, Nur Syafinaz Jebat, 29, berkata, keputusan itu dibuat demi kebaikan kedua-dua belah pihak.
“Alhamdulillah, kami memang sudah berbaik. Selepas ini orang ramai tidak akan boleh nampak lagi insiden seperti yang pernah berlaku tempoh hari.
“Terima kasih, saya tahu ramai yang mendoakan kami. Jadi, teruskanlah mendoakan kebahagian saya dan suami.
“Saya tidak kisah jika hendak duduk atau makan semeja dengan madu, cuma ketika ini saya ada kekangan dengan jadual kerja yang padat.
“Namun untuk pihak dia, saya tidak berani beri sebarang komen. Lebih baik diajukan kepada pihak sana sendiri,” katanya selepas pelancaran produk semalam.
Sebelum ini, Fyna membuat pengakuan sudah bergelar isteri kedua kepada bekas bintang bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Media sebeum ini melaporkan adik kepada penyanyi Ayda Jebat itu didakwa terbabit dalam pertelingkahan dengan madunya itu di sebuah restoran di Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan berlaku insiden tarik rambut di dalam restoran berkenaan.
Bagaimanapun, mereka dikatakan telah menarik balik laporan polis dibuat, baru-baru ini.
Susulan tindakan itu, pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas menyemak semula kertas siasatan. – Malaysiapost