Keputusan pemilihan Pemuda Umno Jempol tak sah

Keputusan pemilihan Pemuda Umno Jempol tak sah

PERSIDANGAN Pemuda Umno Bahagian Jempol yang berlangsung pada 11 Mac lalu dibatalkan.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, pembatalan itu dimaklumkan Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023 menerusi surat rasmi bertarikh 15 Mac lalu.

Menurutnya, surat yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023, Tan Sri Shahrir Abd Samad mengarahkan supaya pengundian semula diadakan bagi sayap Pemuda Bahagian itu.

“Jadi, jawatankuasa pemilihan Umno 2023 telah bersidang dan mengambil keputusan untuk mengarahkan pihak Umno Bahagian Jempol supaya membuat pengundian semula,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan Umno Jempol telah mencadangkan satu sesi pengundian semula jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian berkenaan.

Jelasnya, ia akan diadakan sebaik sahaja pengurusan Umno Jempol yang baharu dibentuk selepas persidangan Umno Bahagian hari ini.

“Keputusan pemilihan pemuda Umno Jempol yang diadakan pada 11 Mac itu adalah tidak sah dan 10 pemuda Umno bahagian yang telah dilantik pada mesyuarat tersebut itu juga terbatal.

“Bagaimanapun status Ketua Pemuda Cawangan adalah tidak terjejas dan merupakan perwakilan yang sah untuk hadir ke mesyuarat Umno Bahagian Jempol pada hari ini (Sabtu),” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua ahli dan perwakilan supaya dapat mematuhi peraturan pemilihan yang telah digariskan bagi memastikan perkara itu tidak berulang lagi. – Malaysiapost

Komen