KJ tetap sayangkan Umno

KJ tetap sayangkan Umno

BEKAS Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, menegaskan walaupun sudah dipecat daripada Umno, beliau masih menyayangi parti keramat terbesar orang Melayu itu.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, turut tidak menolak kemungkinan satu hari nanti akan kembali semula bersama Umno.

“Mungkin ramai yang kritik saya – ‘KJ bukan orang Umno lagi, tak perlu sibuk-sibuk’ – ya betul, tapi saya sayangkan Umno dan insya-Allah mana tahu, satu hari nanti saya akan kembali ke parti keramat ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, Khairy menyuarakan pandangannya berhubung Pemilihan Umno yang berlangsung hari ini membabitkan pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Beliau, berpendapat bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad merupakan seorang figura politik hebat
yang perlu diberi tempat sebagai salah seorang Naib Presiden Umno.

“Dengan kejayaan cemerlang beliau mentadbir Johor (yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu), peranan Hasni sebagai Naib Presiden nanti dilihat mampu membawa kesegaran kepada barisan kepimpinan tertinggi parti terbesar orang Melayu ini,” katanya.

Khairy berkata, selepas prestasi terburuk Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, Umno perlukan perubahan pemikiran, pendekatan dan kesegaran dalam pentadbiran.

Menurutnya, setelah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, para pemimpin di bawah dua jawatan tertinggi itu perlu diisi oleh individu yang kuat bekerja, berfikiran kritis, berani, memahami sentimen akar umbi, bersifat pejuang dan ‘realist’.

“Kesemua ciri ini ada pada Hasni. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Umno perlu berdepan dengan realiti bahawa parti ini kini ditolak rakyat khususnya orang Melayu.

“Selaku Ketua Umno Bahagian Pontian iaitu kawasan selamat Umno, Hasni berani dicaturkan di Simpang Renggam pada PRU-15 lalu bagi mendepani, dan seterusnya mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik yang juga merupakan bekas Menteri Pendidikan,” katanya.

Khairy turut berharap perwakilan Umno yang akan memilih hari ini mendengar suara rakyat biasa yang berada diluar ‘kepompong’ Umno dan membuat pilihan yang terbaik dikalangan yang terbaik.

Pemilihan Umno bagi penggal 2023-2026 akan berakhir hari ini dengan persaingan merebut jawatan Naib Presiden Umno paling dinantikan membabitkan seramai lapan calon yang menawarkan diri.

Lapan pemimpin itu termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hanya seorang penyandang Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Ahli Parlimen Bera mengesahkan tidak bertanding dalam pemilihan kali ini. – Malaysiapost

Komen