Lokasi kedua ‘Proklamasi Melayu’ dihadiri Tun M batal lagi
PENGANJURAN program Proklamasi Melayu, yang dikatakan akan menampilkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berdepan halangan lagi apabila lokasi kedua pula membatalkan tempahan.
Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata, pengurusan lokasi berkenaan memaklumkan tempahan itu dibatalkan malam tadi tetapi tidak dimaklumkan sebarang sebab.
Menurutnya, sebelum ini, acara itu sepatutnya diadakan di sebuah hotel di pusat bandar tetapi dibatalkan dengan alasan ‘masalah teknikal’.
Jelasnya, pihak pengurusan dewan telah memaklumkan pembatalan tempahan pada pukul 9 malam tadi.
“Program khas melibatkan Dr Mahathir yang dijadual berlangsung pada Ahad (esok) menghadapi kesulitan apabila tempahan lokasi awal terpaksa dibatalkan kerana masalah teknikal, maka, pihak penganjur terpaksa memilih lokasi baharu.
“Kami memohon ribuan maaf kepada para tetamu jemputan kerana perubahan lokasi sebanyak dua kali,” katanya.
Dr Mahathir dilaporkan akan hadir ke program itu atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil parti yang baharu disertainya iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Difahamkan, ia bukan acara politik sebaliknya membincangkan isu-isu berkaitan komuniti Melayu.
Dr Mahathir dijadual memberi ucapan serta menandatangani proklamasi dalam program berkenaan. – Malaysiapost