Mangsa banjir di Johor berkurang kepada 21,127 orang
BANJIR di Johor semakin pulih dengan jumlah mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) ialah 21,127 orang di dua daerah setakat 8 pagi ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), terdapat penyusutan angka mangsa banjir berikutan ramai telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berbanding 23,663 orang pada malam tadi.
JPBN memaklumkan sebanyak 83 PPS masih dibuka di dua daerah terjejas iaitu Batu Pahat dan Segamat.
“Batu Pahat masih menjadi daerah paling terjejas melibatkan 21,089 mangsa daripada 6,031 keluarga ditempatkan di 81 PPS.
“Di daerah Segamat pula masih terdapat 38 mangsa terjejas daripada 13 keluarga dan mereka ini ditempatkan di dua PPS,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, cuaca di semua 10 daerah setakat pagi ini dilaporkan cerah serta tiada sungai berada pada paras bahaya.
Bagaimanapun, terdapat lima jalan masih belum dibuka sepenuhnya dengan hanya kenderaan berat dibenarkan melalui jalan berkenaan.
“Jalan tersebut ialah Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung; Jalan Parit Jambi (Jambatan Parit Jambi) dan Jalan Haji Arif (Klinik Kesihatan Sri Medan).
“Turut ditutup kepada kenderaan ringan ialah Jalan Parit Warijo (sepanjang jalan) dan Jalan Sri Bengkal (Kampung Sri Bengkal),” katanya. – Malaysiapost