Mangsa banjir di Johor terus menurun
JUMLAH mangsa banjir di Johor semakin menurun dengan seramai 20,107 orang daripada 5,751 keluarga yang dipindahkan ke 77 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang tadi.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dua daerah masih terjejas membabitkan daerah Batu Pahat dan Segamat.
Menurut laporan itu, daerah Batu Pahat merekodkan jumlah mangsa seramai 20,083 mangsa daripada 5,743 keluarga yang ditempatkan di 75 PPS.
Sementara itu, situasi banjir di daerah Segamat semakin pulih dengan hanya seramai 24 mangsa daripada lapan keluarga masih ditempatkan di dua PPS.
Banjir kali ini disifatkan paling buruk pernah dihadapi negeri itu selepas 17 tahun menghadapi bencana banjir besar pada 2006, yang mengakibatkan lebih 100,000 penduduk di Johor terjejas.- Malaysiapost