Md Alwi menang tanpa bertanding kerusi Ketua Umno Bahagian Ketereh
UMNO Bahagian Ketereh kini dipimpin Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua bahagian berkenaan dalam Pemilihan Umno 2023, hari ini.
Beliau yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian berkenaan sebelum ini, dipilih menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang dipecat dari parti Disember lalu.
“Ini rumah kita tanggungjawab kita. Alhamdulillah selesai tanggungjawab selaku Ketua Bahagian dan para perwakilan Umno Bahagian Ketereh telah melaksanakan tanggungjawab untuk pemilihan Umno bagi 2023/2026.
“Mesyuarat perwakilan dan pemilian ini berlangsung dengan penuh teratur dan tertib serta penuh semangat kekeluargaan.
“Terima kasih team Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) dan Umno Ketereh juga para perwakilan untuk memastikan memastikan semua proses cepat dan lancar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, dalam pemilihan itu juga, Afiq Amani Annuar menang bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian berkenaan.
Afiq Amani yang juga anak kepada Annuar menang tanpa bertanding manakala jawatan Ketua Wanita pula kekal disandang oleh Sabariah Hamzah dan Ketua Puteri disandang oleh Rabiatul Adawiah Mohamed.
Calon Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, Marzuani Ardilla Ariffin kini memegang jawatan Timbalan Ketua Wanita bahagian berkenaan. – Malaysiapost
Kredit foto: Berita Harian