Mesyuarat Umno Bahagian Lahad Datu kecoh
MESYUARAT Umno Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu hari ini dicemari dengan pergaduhan beberapa individu dan rakaman kekecohan itu turut tular di media sosial, hari ini.
Difahamkan, pergaduhan dipercayai berpunca akibat provokasi oleh penyokong calon bertanding bagi pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian.
Berdasarkan video yang tular, terdapat beberapa penyokong dipercayai tidak berpuas hati lalu menaiki pentas di dewan berkenaan ketika Ketua Umno Bahagian Lahad Datu, Mejar (B) Khalid Harun sedang berucap.
Tindakan itu menyebabkan lebih ramai penyokong menaiki pentas hingga tercetus pergaduhan.
Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kekecohan bermotif provokasi hingga menimbulkan pergaduhan. Polis dapat mengawal keadaan dan menghentikan perhimpunan berkenaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. – Malaysiapost