Nas Adila hidap kanser payudara tahap tiga
PENYANYI, Nas Adila, mengesahkan dirinya kini menghidap kanser payudara tahap tiga.
Nas atau nama sebenarnya, Nas Adila Mohd Dan, 37, memaklumkan dia disahkan oleh doktor menghidap kanser itu sejak 1 Mac lalu.
“Saya baru tahu pada 1 Mac lalu. Saya perasan ada ketulan pada awal tahun, tapi tak besar sangat. Bila semakin membesar, saya berjumpa doktor untuk lakukan pemeriksaan.
“Jadi, doktor sahkan ia adalah kanser payudara, tapi belum dapat dipastikan tahap berapa. Namun, doktor maklumkan ia tahap tiga dan ke atas. Harapnya tak sampai tahap empat.
“Bohong kalau saya katakan tidak sedih, tapi sejak awal lagi saya cuba lawan. Saya kena kuatkan hati dan reda dengan dugaan ini. Kita jalani sahaja hidup,” katanya dalam temu bual bersama sebuah radio yang dimuat naik di Instagramnya.
Nas bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi dan akan sentiasa berfikiran positif melawan penyakit tersebut.
Dia menganggap ujian dalam bentuk kesakitan sebagai satu tanda Allah sayang kepada hambaNya.
“Saya banyak tanya dengan mereka yang dah bebas kanser untuk rujukan. Mereka nasihat supaya saya buat aktiviti seperti biasa supaya tidak tertekan.
“Saya tak nak sedih-sedih, nak selalu gembira. Alhamdulillah buat masa ini ia tidak sakit walaupun doktor memaklumkan sel kanser saya aktif,” katanya.
Jelas Nas lagi, keluarga merupakan sistem sokongan terkuat buat dirinya pada masa ini.
“Suami saya sangat tenang menerima berita ini. Dia banyak memberi semangat untuk saya. Jadi, saya kena kuat untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Menurut Nas, dia akan menjalani rawatan kimoterapi sekurang-kurangnya enam kali dalam masa terdekat sebelum menjalani pembedahan. – Malaysiapost