Pemilihan Naib Presiden, Ahli MKT penentu kejayaan pulihkan Umno

Pemilihan Naib Presiden, Ahli MKT penentu kejayaan pulihkan Umno

SELEPAS pemilihan sayap Umno Sabtu lalu, parti itu bakal menyaksikan kemuncak pemilihan pemimpin yang bakal merebut jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini.

Mesyuarat Perwakilan Umno yang berlangsung secara serentak hari ini, turut menyaksikan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian.

Tumpuan tentunya terarah kepada siapa yang bakal menduduki jawatan Naib Presiden selepas Umno memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

Berlangsung di seluruh negara, ianya akan dipantau oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) yang berperanan dalam memastikan perjalanan pemilihan kali ini berjalan lancar serta mengikut lunas-lunas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Umno.

Mesyuarat bahagian akan berjalan seperti biasa pada pagi ini, sebelum perwakilan mengambil tempat dalam melakukan pengundian bagi Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan MKT, lapor Umno Online.

Sementara itu, dalam meraikan proses demokrasi dalam parti, majlis bagi memperkenalkan calon-calon di peringkat Pusat juga diadakan di seluruh negara.

Ia bermula di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan berakhir di Terengganu pada Rabu.

Pengenalan tersebut dianggap sebagai ruang bagi para calon berkempen dengan kesemuanya terikat kepada tataetika yang telah digariskan dalam Perlembagaan Umno dan JPU.

Untuk rekod bagi jawatan Naib Presiden, lapan calon menawarkan diri iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Seri Mahdzir Khalid; Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin.

Manakala, bagi calon Ahli Majlis Tertinggi (MT), seramai 95 orang layak bertanding antaranya Datuk Seri Ahmad Maslan; Datuk Seri Jalaluddin Alias; Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Terdahulu, Sabtu lalu menyaksikan pemilihan di peringkat Wanita, Pergerakan Pemuda Dan Puteri Umno masing-masing bagi peringkat Pusat dan bahagian.

Ia menyaksikan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mempertahankan jawatan sebagai nombor satu dalam Wanita serta Datuk Norliza Abdul Rahim sebagai naib.

Manakala, Ketua Pergerakan Pemuda Umno dimenangi Dr Mohamad Akmal Salleh serta Naib, Mohd Hairi Mad Shah. Bagi Pergerakan Puteri pula, dimenangi Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan jawatan Naib Ketua, Siti Sokhleha Nordin. – Malaysiapost

Komen