Pemilihan Umno: Ku Li masih relevan, menang besar di Bahagian Gua Musang
TENGKU Razaleigh Hamzah atau Ku Li terus diberi kepercayaan mengemudi Umno Bahagian Gua Musang selepas mendapat mandat perwakilan bahagian berkenaan dalam keputusan pemilihan parti, hari ini.
Menerusi keputusan pemilihan Umno Bahagian Gua Musang itu, Ku Li mendapat 453 undi sekali gus meninggalkan jauh dua pencabarnya, Che Mohd Izani Che Musa dan Datuk Saari Lembut.
Che Mohd Izani memperoleh 46 undian, manakala Saari lima undi.
Pemilihan kali ini menyaksikan kali kedua Ku Li dicabar sejak memimpin Umno Bahagian Gua Musang selama 64 tahun.
Kali pertama Ku Li dicabar oleh bekas Ketua Pemuda ketika itu, Datuk Bazlan Baharuddin pada pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang 2013.
Kemenangan itu menyaksikan Ku Li mengekalkan jawatan dan menjadi Ketua Umno bahagian paling lama berkhidmat di negara ini.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hasyim mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, kemenangan besar memberi isyarat Ku Li masih relevan memimpin Umno Bahagian Gua Musang. – Malaysiapost