Pemimpin tidak adil, heret negara dalam ‘pesta’ kezaliman – Hadi

Pemimpin tidak adil, heret negara dalam ‘pesta’ kezaliman – Hadi

MASYARAKAT sedang menyaksikan ‘pesta’ kezaliman yang nyata dengan tindakan menyiasat, menahan dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata perkara itu berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses betul tanpa gangguan.

“Haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab.

“Lebih malang lagi, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja kerana alasan permusuhan,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Abdul Hadi berkata, sudah ‘terang lagi bersuluh’ berlaku tindakan zalim dengan mengheret kalangan mereka yang dianggap lawan ke mahkamah secara terpilih, sehingga digali habis-habisan bagi mencipta kesalahan.

“Kemudiannya, mereka bertindak menghentikan perjalanan mahkamah terhadap ‘kawan’ yang akrab atau penyokongnya, walaupun sudah layak diheret ke mahkamah dan sedang dalam proses perbicaraan mahkamah.

“Ketika dibawakan bukti secara bertali arus dan belum selesai proses perbicaraannya, tiba-tiba kes tersebut dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya.

Katanya, perkara itu dilakukan supaya ia tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman melainkan kalangan mereka yang dipelihara Allah dengan hidayah-Nya.

“Hanya perkara yang benar-benar layak dibawa ke mahkamah sahaja yang diambil tindakan kehakiman. Kadang-kadang, nasihat yang benar dianggap salah kerana mempertahankan kezaliman yang nyata.

“Nasihat yang diberikan bagi membetulkan kesalahan dan menginsafkan golongan yang zalim adalah kewajipan orang-orang yang beriman,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi mendakwa negara kini sedang menyaksikan pemberitaan yang menipu secara terus-menerus untuk menyampaikan propaganda yang ‘menggoda’ rakyat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia bagi memastikan rakyat tidak berfikir dengan betul serta tidak melihat, membaca dan mendengar dengan akal yang sihat serta bebas tanpa waswas syaitan.

“Namun, keburukannya terdedah satu demi satu. Propaganda yang dilindungi bertopengkan warna-warni kata-kata indah dan menarik, supaya apa yang salah dianggap betul dan apa yang baik pula dianggap buruk.

“Demikian juga, perkara betul dianggap salah dan perkara buruk pula dilindungi keburukannya oleh pihak yang berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, golongan yang tidak ikhlas ini, hanyalah semata-mata mencari kesenangan dan mengejar pangkat dan mereka tidak mendapat hidayah, walaupun berilmu dan berketurunan bangsawan.

“Semuanya boleh berlaku keburukan yang berpunca daripada pelantikan para pemimpin yang bersifat dengan perkara-perkara yang telah dinyatakan amarannya oleh Rasulullah SAW.

“Maka, Allah SWT memerintahkan kita supaya menyelamatkan umat daripada bencana kezaliman,” katanya.

Abdul Hadi berkata, pemimpin wajib bersifat adil mengikut takrif Islam iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul mengikut petunjuk Allah dan tidak bersifat fasiq.

“Rasulullah SAW telah memberikan amaran bahawa akan berlaku perkara buruk kepada umatnya, khususnya apabila mereka melantik pemimpin daripada kalangan penipu dan pembohong kerana kedua-dua golongan itu bersifat fasiq.

“Para pemimpin wajib mendampingi kalangan penasihat yang baik dan benar. Mereka juga perlu berhati-hati apabila dipilih menjadi pemimpin kerana mereka tidak maksum seperti Rasul dan Nabi.

“Bahkan, kita juga sedang mengalami akibat pelantikan para pemimpin yang bersifat dengan pelbagai sifat yang dilarang Rasulullah SAW iaitu melakukan pembohongan berulangan, penipuan yang kerap kali berlaku dan janji yang tidak ditunaikan,” katanya. – Malaysiapost

Komen