SUKMA 2024: Kenyataan Pemuda PAS hanya salah faham

SUKMA 2024: Kenyataan Pemuda PAS hanya salah faham

DAKWAAN Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed yang negeri itu dinafikan hak menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, adalah hanya salah faham.

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat menjelaskan, kenyataan dikeluarkan itu menggambarkan anak muda begitu teruja supaya SUKMA diadakan di negeri itu.

“Beliau mungkin bimbang temasya ini tidak diadakan di Kelantan, kerana negeri lain telah menjadi tuan rumah dua kali.

“Jadi saya rasa tidak timbul masalah sekiranya berlaku kesilapan dalam kenyataan itu, sepatutnya kenyataan ketua Pemuda itu diperbetulkan,” katanya yang dipetik Bernama.

Kamal dalam satu kenyataan semalam menuduh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyalah guna kuasa menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah SUKMA pada tahun hadapan.

Hannah berkata, tuduhan Kamal itu adalah satu fitnah kerana wakil Kelantan, Wan Roslan sendiri bersetuju negeri itu menganjurkan SUKMA pada 2028 kerana perlukan masa untuk membuat persiapan.

Sarawak secara rasmi dipilih sebagai tuan rumah SUKMA 2024, manakala Majlis Sukan Negara (MSN) akan menganjurkan temasya tersebut pada 2026.

Mengenai penganjuran SUKMA itu, Wan Roslan berkata, Kelantan akur dengan keputusan mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA dan tidak akan membuat bantahan.

Katanya, perincian mesyuarat berkenaan tidak boleh didedahkan tetapi persiapan Kelantan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2028 akan diteruskan.

“Alasan kita (Kelantan) ditangguhkan menjadi tuan rumah kena tanya Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) sendiri. Namun begitu persiapan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2028 akan diteruskan,” katanya. – Malaysiapost

Komen