20 calon MKT selesa untuk menang – Shahrir
CALON Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkedudukan di ranking pertama hingga 20 adalah selesa untuk menang, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) itu berkata, tinggal empat Bahagian Umno yang belum mengadakan pemilihan yang boleh mengubah kedudukan pemenang MKT.
“Berkenaan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MKT) pula, saya boleh katakan calon berada pada kedudukan nombor satu sehingga 20 selesa untuk menang, manakala selebihnya mungkin berubah memandangkan empat bahagian belum mengadakan pemilihan di samping perbezaan dilihat kecil.
“Dengan melihat senarai calon menang MKT, banyak muka baharu yang membabitkan mereka kali pertama bertanding,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
Shahrir turut mengesahkan kemenangan tiga calon untuk Naib Presiden Umno iaitu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Wan Rosdy telah memperoleh undi sebanyak 124 undi, Mohamed Khaled mendapat 114 berbandibg Johari dengan 107 undi.
Jawatan Naib Presiden itu turut dicabar oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hasni Mohammad termasuk penyandang, Datuk Seri Mahdzir Khalid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden setelah kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti kali ini.
Dalam pada itu, Shahrir memaklumkan, 54 ketua UMNO bahagian atau 29 peratus adalah merupakan muka baharu sekali gus memperlihatkan berlaku perubahan di peringkat akar umbi UMNO di seluruh negara.
“Perubahan ini bukan sahaja berlaku satu negeri sahaja, tetapi semua negara misalnya Melaka dan Wilayah Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Shahrir memaklumkan empat Bahagian UMNO masih tidak menghantar keputusan pemilihan MT dan bahagian iaitu Tanah Merah, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Beluran.
Jelasnya, pengiraan kertas undi setakat kini melibatkan 187 bahagian sahaja.- Malaysiapost