5 sekolah terjejas banjir di Johor tidak beroperasi
LIMA sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir tidak dapat beroperasi pada hari pertama persekolahan bermula hari ini.
Ia membabitkan tiga sekolah di Batu Pahat dan dua di Segamat.
Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Md Said Md Daimon berkata, tiga sekolah di Batu Pahat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Mendapat, SK Tanjung Semberong dan SK Sri Nasib Baik.
“Dua sekolah di Segamat ialah SK Pogoh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap.
“Dua sekolah ini mengalami masalah ketiadaan elektrik, yang mana masih belum mendapat pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk digunakan.
“Dua sekolah di Segamat ini, dijangka akan mula beroperasi pada esok selepas disahkan selamat oleh JKR.
“Tiga sekolah di Batu Pahat terbabit dengan banjir sama ada sekolah itu dinaiki air ataupun laluan ke sekolah itu yang masih dinaiki air,” katanya hari ini.
Menurut Md Said, sebanyak 40 sekolah di daerah ini masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir termasuk pelajar sekolah.
Katanya, proses pembersihan sekolah masih lagi berjalan dan pihaknya sedang menyusun jadual sukarelawan yang akan membantu proses itu.
“Sehingga kini proses pembersihan sekolah masih berjalan, bagi sekolah yang masih lagi menjadi PPS, pembersihan akan dijalankan secara berperingkat.
“Bagi pelajar di PPS, sesi pembelajaran bergantung kepada kelas, jika kelas bilik darjah yang kosong, maka mereka akan belajar di sekolah dan murid yang berada di PPS yang menjdi mangsa banjir akan masuk ke kelas menumpang walaupun PPS itu bukan sekolah dia.
“Minggu pertama ini sesi persekolaham lebih kepada sesi suai kenal,” katanya. – Malaysiapost