54 ketua bahagian Umno muka baharu

54 ketua bahagian Umno muka baharu

KIRA-KIRA 30 peratus atau 54 pemimpin Umno di peringkat bahagian seluruh negara merupakan muka baharu yang diangkat pada pemilihan parti kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Shahrir Samad berkata, ia menunjukkan Umno semakin dinamik dan perwakilan kini berani melakukan perubahan mengikut saluran yang betul.

“Seramai 54 Ketua Umno Bahagian ini adalah kira-kira 29 atau 30 peratus muka baharu. Ia bukan melibatkan satu negeri, tetapi berlaku secara keseluruhan.

“Di Wilayah Persekutuan, enam muka baharu; Melaka (3); Kelantan (5); Johor (10); Perak (4); Selangor (6) dan Perlis (3),” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn hari ini.

Dalam pada itu, Shahrir berkata, Umno perlu menekankan soal tata etika kepada seluruh perwakilannya yang terbabit dalam pemilihan pada masa akan datang.

“Kepada 190,000 ahli Umno yang terbabit dalam proses pemilihan, kita juga tekankan soal kualiti, supaya mereka patuh soal tata etika selain harus mempunyai kefahaman dan tanggungjawab sebagai perwakilan.

“Kalau kuantiti saja, itu bukan menandakan amalan demokrasi sebenar. Amalan demokrasi itu mesti berasaskan kefahaman dan kepatuhan kepada peraturan. Jadi itu anggapan kami sebagai JPU 2023,” katanya.

Sementara itu, katanya, rumusan berkaitan perjalanan Pemilihan Umno 2023 termasuk cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan akan dikemukakan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam tempoh terdekat. – Malaysiapost

Kredit foto: Umno Online

Komen