DAP gesa Tun M berhenti main sentimen perkauman
DAP kecewa dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih lagi memainkan sentimen perkauman kononnya Melayu akan hilang kuasa tidak lama lagi.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan itu tidak selari dengan status Dr Mahathir sebagai tokoh negarawan dan bekas Perdana Menteri.
“Kita berharap Dr Mahathir boleh memainkan peranan dengan lebih konstruktif daripada setiap hari mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dilihat bukan sahaja tidak membantu, malah mengapi-apikan sentimen perkauman.
“Ini sesuatu yang tidak baik untuk negara, beliau sepatutnya menggunakan pengaruh yang dimiliki untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan membantu menarik lebih banyak pelaburan serta minat (dunia luar) untuk memajukan negara, bukannya memainkan sentimen perkauman yang direka-reka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023, hari ini.
Loke mengulas kenyataan Dr Mahathir pada 4 Mac lalu yang memberi amaran kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali Pilihan Raya Umum (PRU).
Kenyataan itu dibuat Dr Mahathir ekoran suasana politik ketika ini yang mana kekuatan dominan kaum pribumi tersebut semakin teruk terhakis selepas PRU15.
Menurut Loke, tiada bukti menunjukkan orang Melayu hilang kuasa seperti dakwaan Dr Mahathir, malah ketika ini Perdana Menteri dan kebanyakan menteri termasuk Ketua Setiausaha Negara yang mentadbir negara adalah daripada kaum Melayu.
“Kenyataan kononnya orang Melayu hilang kuasa adalah satu permainan lama oleh Dr Mahathir untuk menakut-nakutkan orang Melayu, malah beliau juga berdepan dengan tuduhan sebegitu ketika menjadi Perdana Menteri.
“Sekarang ada Kerajaan Perpaduan, sepatutnya beliau memahami ini adalah permainan politik yang dilemparkan pihak lawan terhadap kerajaan, jadi saya dukacita apabila beliau sendiri turut memainkan sentimen perkauman itu sekarang,” katanya. – Malaysiapost