Isham Jalil menang MKT Umno

Isham Jalil menang MKT Umno

KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil berada dalam senarai 25 calon yang mendapat undi tertinggi bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Isham memaklumkan beliau berada di tempat ke-17 daripada 95 calon yang bertanding.

“Saya masih lagi menunggu keputusan rasmi akhir untuk pemilihan Ahli MKT Umno. Terdapat lebih kurang 10 lagi keputusan bahagian yang belum dimasukkan ke dalam sistem.

“Setakat ini saya dimaklumkan telah mendapat undi kemenangan daripada 100 iaitu melebihi majoriti bahagian-bahagian Umno di seluruh negara dan berada di tempat ke-17 daripada 95 orang calon yang bertanding.

“InsyaAllah jika tiada perubahan kedudukan ini di saat akhir, saya dijangka akan menang kerusi Ahli MKT Umno pada pemilihan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Isham melahirkan rasa syukur dan terharu atas sokongan ahli dan akar umbi Umno yang telah mengundi beliau untuk jawatan berkenaan.

“Saya amat hargai budi dan jasa tuan-tuan dan puan-puan ini dan tidak akan melupakannya sehingga ke akhir hayat,” katanya.

Beliau berikrar untuk terus berjuang bersama ahli parti bagi memastikan Umno dan rakyat di negara ini mencapai kehidupan lebih baik.

“Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita semua,” katanya. – Malaysiapost

Komen