Jiwa dan raga saya tetap bersama Umno – Azalina
WALAU tidak terpilih dalam “Top 5” kepimpinan utama, tidak sedikitpun mematahkan semangat saya, demikian kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Meskipun tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu yang berlangsung semalam, namun bagi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, kesetiaannya terhadap Umno tidak akan goyah sama sekali.
Jelasnya, tindakan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada Pemilihan Umno 2023 adalah untuk kebaikan parti itu sendiri.
“Saya masih setia dalam perjuangan ini demi masa depan parti yang saya cintai.
“Walaupun percubaan kali pertama saya ini gagal, namun bagi saya keputusan saya menawarkan diri diambil hanyalah demi kebaikan parti Umno supaya ia dilihat lebih terbuka dan progresif bagi mendepani cabaran semasa politik negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) telah mengumumkan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Ghani telah menang jawatan Naib Presiden Umno.
Dalam persaingan lapan penjuru itu, Wan Rosdy telah memperolehi 127, Khaled (117) dan Johari (107) undi.
“Pemilihan Umno bagi sesi 2023-2026 telah menyaksikan suara perwakilan di seluruh negara dan saya berlapang dada serta menghormati pilihan para perwakilan.
“Tahniah diucapkan kepada seluruh kepimpinan di semua peringkat terutamanya kepada barisan Naib Presiden yang baharu dan Ahli Majlis Tertinggi Umno yang telah dipilih.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua perwakilan diseluruh negara yang telah mengundi saya,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Pengerang itu turut mengucapkan terima kasih kepada JPU kerana berjaya memastikan pemilihan Umno berjalan dengan lancar.
“Ucapan penghargaan ini saya panjangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023 dan sekretariat yang berusaha bertungkus-lumus memastikan pemilihan kali ini berjalan lancar.
“Akhir sekali, jiwa dan raga saya tetap bersama Umno walau dimana jua saya berada,” katanya. – Malaysiapost