Lokman, Isham berjaya membarisi MKT Umno

Lokman, Isham berjaya membarisi MKT Umno

DATUK Lokman Noor Adam dipilih membarisi 25 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam pemilihan parti itu yang berlangsung semalam.

Beliau memperolehi 97 undi sekali gus berjaya menduduki di ranking ke-21 MKT.

Turut berjaya dipilih ke dalam barisan MKT sesi 2023-2026 ialah Ketua Penerangan Umno Isham Jalil yang memperolehi 101 undi.

Berdasarkan keputusan rasmi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) yang dipamerkan dalam hantaran di Facebook Isham, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah telah mendapat undi paling tinggi daripada Bahagian iaitu 178 undi.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menduduki tempat kedua apabila menerima 176 undi dan diikuti Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dengan 167 undi.

Turut berjaya menempatkan dalam senarai 25 MKT ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memperolehi 167 undi.

Pemilihan Umno 2023 juga menyaksikan tiga pemimpin Wanita Umno dipilih membarisi barisan MKT iaitu Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Datuk Zahida Zarik Khan dan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin.

Sementara itu, dua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya menempatkan diri dalam barisan MKT ini iaitu Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. – Malaysiapost

Komen