Negeri tawar tanah percuma diutamakan bina PPR

Negeri tawar tanah percuma diutamakan bina PPR

NEGERI yang menawarkan tanah di lokasi strategik secara percuma atau dengan kadar premium nominal akan diberi keutamaan untuk pembinaan projek perumahan rakyat (PPR).

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu diambil supaya kerajaan dapat mengoptimumkan peruntukan untuk membina rumah dan bukan membayar kos tanah.

“Mana-mana negeri yang beri tanah secara percuma atau dengan kadar premium nominal akan diberi keutamaan bagi pembinaan PPR kerana kita mahu mengoptimumkan kos pembinaan rumah.

“Sebelum ini, 30 hingga 35 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan digunakan untuk bayar tanah yang menyebabkan kualiti rumah lebih rendah.

“Kita mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri yang sanggup berikan tanah percuma akan diberikan keutamaan, saya harap Kelantan juga akan menunjukkan komitmen bersama kerajaan Persekutuan untuk menjayakan misi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pasar Tok Kenali di Kelantan yang turut dihadiri Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yaakob, hari ini.

Menurut Kor Ming, tawaran berkenaan dibuka sejak minggu lalu dan kementeriannya berharap banyak negeri akan menawarkan tanah dengan projek akan dilaksana berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.

“Tahun ini, kita berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi peruntukan RM387 juta untuk pembinaan PPR dan RM358 juta untuk projek rumah mesra rakyat.

“Justeru, kementerian kami akan mempergiatkan usaha ini bagi memastikan setiap keluarga mempunyai sebuah rumah,” katanya. – Malaysiapost

Komen