Pemilihan Umno: Kejutan di Kangar dan Tangga Batu
BEKAS Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Kangar, pada pemilihan parti itu yang berakhir, semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu, tewas kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Fathul Bari yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah berjaya memperoleh 368 undi, untuk mengatasi Azlan yang hanya memperoleh 179 undi.
Kejutan turut berlaku di Melaka apabila Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Mohamad Ali Mohamad ditewaskan oleh Datuk Raiz Yasin menerusi perbezaan empat undi.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali yang mendapat 278 undi. – Malaysiapost