PKR lawan Al Quran, kata Presiden PAS

PKR lawan Al Quran, kata Presiden PAS

PRESIDEN PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan PKR kini berlawanan dengan ajaran Al Quran. 

Beliau berkata, di samping melaksanakan tugas sebagai hamba Allah dengan melakukan ibadat, Allah juga mewajibkan kepada seluruh hamba-Nya agar berpolitik. 

“Oleh itu, Allah SWT juga melantik para rasul supaya berdakwah yang tidak terpisah daripada urusan politik. Peranan itu berakhir dengan lahirnya nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang berdakwah dan berhijrah untuk menyempurnakan tuntutan berpolitik dengan menegakkan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT. 

“Dalam pada itu, Rasulullah SAW tetap mengekalkan kedudukan raja-raja yang memeluk Islam, seperti al-Najasyi Malik bin Ashamah yang merupakan Raja Habsyah, Raja Oman, raja-raja di Yaman dan lain-lain. Ini adalah pelaksanaan hukum politik Islam,” katanya dalam segmen Minda Presiden PAS, di Facebook, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan pimpinan PKR dalam Kongres Nasional Khas semalam yang menyeru ahli-ahli parti itu menyerang ahli politik yang mempolitikkan agama. 

“Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama,” demikian kata-kata salah seorang pemimpin parti itu. 

Ahli Parlimen Marang itu membidas dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai jahil dan buta agama. 

“Hal ini jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf. Al-Quran menegaskan firman Allah SWT kepada para malaikat ketika hendak mencipta manusia pertama iaitu Nabi Adam AS, daripada zuriatnya dilahirkan seluruh manusia,” katanya. 

Tegas Abdul Hadi, Islam mewajibkan gabungan politik antara para pemerintah dengan para ulama’, termasuk daripada kalangan raja-raja yang terkandung maksudnya dalam istilah Uli al-Amri yang berprinsipkan beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat. 

“Namun demikian, apa yang berlaku sekarang adalah kita masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik. Malah, raja-raja hanyalah ditugaskan supaya menjaga agama sahaja.  

“Apa yang  dipertahankan oleh PKR itu merupakan ajaran yang dinyatakan oleh Bible (Injil) yang telah dipesongkan daripada agama para anbiya’,” katanya.

Abdul Hadi menyeru mereka yang menentang PAS untuk membaca Perlembagaan parti itu. 

“Silakan baca Perlembagaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menegaskan hukum tertinggi ialah al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas. Inilah asas agama yang menjadi pegangan PAS dan perjuangannya. Adakah kerana perkara ini, maka PAS dituduh memperalatkan agama?

“Bagaimanakah pula dengan perjuangan PKR? Kita berharap supaya mereka kembali kepada al-Quran; petunjuk Allah SWT yang kekal terpelihara sepanjang zaman. 

“Sesungguhnya, melawan al-Quran bermakna melawan Allah yang Maha Berkuasa,” katanya.  – Malaysiapost

Komen