PM beri jaminan hapus AUKU
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk memansuhkan peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971 yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.
Beliau berkata, prinsip kerajaan kini adalah untuk memberi kebebasan akademik dan perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Saya beri jaminan peruntukan menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah akan dihapuskan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai Auku pada program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023), di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal dilaporkan berkata, kerajaan belum bercadang memansuhkan Auku 1971, namun berpendapat akta berkenaan lebih sesuai dipinda.
Yusof berkata, antara pindaan dirancang adalah terhadap Seksyen 15 yang memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik, termasuk menjadi ahli dan calon mana-mana parti politik. – Malaysiapost