‘Proklamasi Melayu’ dibatalkan lokasinya 4 kali
PROGRAM Proklamasi Melayu yang akan menampilkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijadual diadakan hari ini terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
Menurut Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, ia berikutan tempahan lokasi baharunya yang keempat di Ideal Convention Centre Selayang, turut dibatalkan tempahannya.
“Majlis yang dijadualkan pada hari ini terpaksa dibatalkan kerana semua tempat tempahan menarik balik atas arahan pihak tertentu,walaupun sudah dibayar sepenuhnya.
“Tempat keempat dan terakhir pengurusan Ideal Convention Centre Selayang juga menerima arahan supaya membatal tempahan dewan oleh Sekretariat Melayu iaitu Penganjur Proklamasi Orang Melayu.
“Sedih dan dukacita atas kezaliman yg tidak terduga sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, Dr Mahathir yang merupakan tetamu utama akan mengadakan sidang media pada jam 3.30 petang ini.
“Segala kerumitan amatlah dikesali dan Sekretariat Melayu mohon ampun dan maaf.
“Perjuangan demi Melayu akan diteruskan. Mohon tetapkan kecekalan perjuangan yang belum selesai,” katanya.
Semalam, penganjur memaklumkan sekali lagi terpaksa membatalkan tempat penganjuran program berikutan pengurusan lokasi kedua acara itu membatalkan tempahan.
Ia kali kedua dibatalkan selepas tempat pertama acara yang sepatutnya berlangsung di sebuah hotel turut membatalkan tempahan atas alasan masalah teknikal.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir akan menjadi tetamu kehormat pada program berkenaan yang sepatutnya diadakan hari ini.
Penganjur turut menegaskan itu bukan acara politik tetapi untuk membincangkan isu berkaitan masyarakat Melayu.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut akan menyaksikan majlis menandatangani proklamasi. – Malaysiapost