Wan Rosdy dapat undi tertinggi Naib Presiden Umno
PENGERUSI Umno Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memperoleh undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti sesi 2023-2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) Tan Sri Shahrir Samad yang mengesahkan perkara itu memaklumkan Wan Rosdy meraih sebanyak 124 undi.
Menurutnya, ia diikuti Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memperoleh 114 undi manakala Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula meraih 107 undi.
“Wan Rosdy memperoleh 124 undi, yang tertinggi dan boleh kita andaikan beliau mengambil tempat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (bekas Naib Presiden).
“Orang Pahang yang menggantikan orang Pahang juga,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Sebelum ini jawatan Naib Presiden Umno dipegang oleh Ismail Sabri, Khaled dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Pada pemilihan parti kali ini, Ismail Sabri yang meraih undi tertinggi untuk jawatan itu pada pemilihan 2018 tidak mempertahankan kedudukannya.
Mahdzir pula gagal dalam usahanya untuk mempertahankan kerusi Naib Presiden Umno apabila hanya meraih 40 undi.
Jelas Shahrir, kedudukan Johari di kedudukan ketiga tertinggi tidak tergugat kerana undi untuk Datuk Seri Azalina Othman Said yang berada di tempat keempat jauh ketinggalan
Katanya, hanya 187 daripada 191 bahagian Umno yang bersidang dan melaksanakan proses pemilihan Umno kali ini.
Empat bahagian yang tidak menjalankan pemilihan parti ialah Tanah Merah, Kota Kinabalu, Beluran dan Johor Bahru.
Sehingga kini, hanya undi daripada empat bahagian yang belum diserahkan kepada JPU.
Shahrir berkata, kedudukan lima terakhir bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mungkin berubah selepas kemasukan undi empat bahagian tersebut nanti. – Malaysiapost