PEMIMPIN Bersatu, Badrul Hisham Shaharin mendesak semua program anjuran Impact Malaysia yang menggunakan duit kerajaan di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dibatalkan.
Badrul Hisham, yang lebih dikenali Chegu Bard turut mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletak jawatan sekiranya beliau gagal menghentikan semua program berkenaan.
“Keseluruhan program kononnya atas nama Artikel 11 anjuran Impact Malaysia yang menggunakan duit kerajaan harus dibatalkan. Kalau itu tidak berlaku Hannah Yeoh harus letak jawatan.
“Saya janji kita akan pusing seluruh negara bertemu dengan semua lapisan masyarakat, Islam atau bukan Islam, Hannah Yeoh adalah musuh keharmonian masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum memberikan keterangan berkenaan program Jom Ke Gereja, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Chegu Bard juga mendakwa Hannah Yeoh akan terus memperlihat seolah-olah menjadi mangsa keadaan dan cuba memanipulasi kononnya beliau ekstremis agama.
“Kita tiada masalah, Hannah Yeoh nak menganut (agama) Kristian. Tapi kamu guna bajet kerajaan, guna kedudukan menteri untuk promosikan agama Kristian dalam kalangan agama bukan Kristian, itu yang salah,” katanya.
Dalam pada itu, Chegu Bard mendakwa, DAP sedar apa yang dilakukan Hannah Yeoh itu salah namun parti itu akan terus melindunginya.
Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sedar program berkenaan bukan sahaja membazir wang rakyat, melanggar undang-undang dan mengancam akidah tetapi akan terus melindunginya kerana DAP mempunyai jumlah kerusi yang banyak.
“Jika DAP tarik sokongan maka doa orang ramai supaya Anwar menjadi Perdana Menteri paling pendek dalam sejarah menjadi kenyataan,” katanya.
Chegu Bard juga tidak takut jika didakwa mengikut Akta Hasutan demi mempertahankan akidah umat Islam, Perlembagaan negara dalam semangat kontrak sosial. – Malaysiapost