GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam pelantikan dua jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia merujuk kepada lantikan dua pemimpin Umno iaitu bekas Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Satu lagi lantikan ialah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).
Selain itu, BERSIH turut mengecam pelantikan Datuk Husam Musa selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).
“Pelantikan-pelantikan ini diumumkan ketika Umno sedang menjalani pemilihan parti mereka dan sebelum pilihan raya negeri akan datang.
“Justeru, pelantikan ini boleh dilihat sebagai penaungan dan ganjaran untuk mendapatkan sokongan.
“Kami mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang usaha awalnya untuk menyelaraskan proses pelantikan GLC dan memerangi kronisme,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 25 ahli politik telah dilantik sebagai pengarah dalam GLC atau Badan Berkanun ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.
Katanya, bilangan itu meningkat ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di mana sekurang-kurangnya 53 ahli politik telah dilantik.
“Sementara kami tidak sepenuhnya melarang ahli politik memegang jawatan dalam GLC atau badan berkanun, proses pelantikannya perlu direformasi supaya dibuat dengan telus .
“Calon-calon perlu menjalani penelitian agar mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan yang tepat, dan bukannya sekadar ‘ganjaran politik’ untuk mendapatkan sokongan,” katanya.
Bagi tujuan mereformasi pelantikan jawatan tertinggi GLC, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan badan berkanun, BERSIH mencadangkan:
a) Larangan melantik wakil rakyat ke dalam GLC, GLIC atau badan berkanun. Hal ini telah dilaksanakan di India dan Korea Selatan, dan perundangan yang serupa boleh dikaji dan diteladani.
b) Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk memantau dan menapis pencalonan. Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan bahawa hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara sewenang.
c) Penggubalan Akta yang akan mentakrifkan GLC dan GLIC secara jelas yang akan terpakai di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri. Sebagai alternatif, undang-undang yang sedia ada seperti Akta Syarikat boleh dipinda untuk mencapai tujuan ini.
Selain itu, BERSIH turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan reformasi terbabit dengan segera selain meletakkan mekanisme yang diperlukan bagi mewujudkan proses pelantikan yang lebih telus, sekali gus meningkatkan keabsahan pelantikan tersebut. – Malaysiapost