Dakwa lawan Quran: PKR cabar Hadi buat kenyataan jelas

PKR hari ini membidas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti itu bertindak melawan al-Quran dan mempertahankan warisan penjajah.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan, mencabar Abdul Hadi membuat kenyataan secara jelas mengenai kedudukan parti itu terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia kerana menerusi tulisan ‘Minda Presiden PAS’ itu, Abdul Hadi dilihat tidak menyatakan hal terbabit dengan jelas.

Selain menyifatkan Ahli Parlimen Marang berkenaan ‘meludah ke langit’ apabila mendakwa PKR mengekalkan warisan penjajah yang dipercayai merujuk kepada Perlembagaan negara.

“Agak melucukan apabila Abdul Hadi menuduh PKR mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengan Islam, sedangkan perkara yang serupa dilakukan wakil rakyat Marang tersebut bersama sekutunya sebelum ini.

“(Hadi) terlupa lafaz ikrar yang dibaca ketika kali pertama bersidang bagi setiap sesi iaitu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa dan ketika.

“Makan ludahan ke langit akan hingga ke muka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Amidi berkata, beliau cuba memahamkan Abdul Hadi itu, namun tiada satu pun kenyataan yang menyamai maksud tajuk tulisan Abdul Hadi terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, pihak pimpinan PKR menginginkan keikhlasan dan kesungguhan Abdul Hadi dan beberapa Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) untuk hadir ke sidang Parlimen.

Katanya, jika pemimpin itu hanya sibuk beraksi dengan berpidato di merata tempat tetapi tidak ke sidang Parlimen, tindakan itu adalah bertentangan dengan agama kerana Islam sangat menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan.

Semalam, Abdul Hadi menerusi hantaran Minda Presiden PAS di Facebook yang bertajuk PKR Melawan Al-Quran mendakwa parti itu bersikap demikian.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan pimpinan PKR dalam Kongres Nasional Khas semalam yang menyeru ahli-ahli parti itu menyerang ahli politik yang mempolitikkan agama. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights