MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selesai memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan program ‘Jom Ziarah Gereja’ anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah kementeriannya.
Hannah bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 5.40 petang tadi.
“Saya hadir ke IPD Sentul bersama peguam selepas membaca berita bahawa polis mahu merakam keterangan saya.
“Jadi, saya tidak mahu membuang masa dan segera tampil ke IPD Sentul (dirakam keterangan) serta berharap polis dapat melengkapkan kertas siasatan kerana telah memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Saya percaya keterangan saya konsisten dengan apa yang telah saya jawab di Parlimen pada minggu lalu berkaitan program berkenaan serta saya juga telah menjawab fitnah Chegubard (Badrul Hisham Shaharin),” katanya selepas memberi keterangan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, walaupun program itu telah dibatalkan, namun satu laporan polis telah diterima berhubung kes berkenaan.
Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa, program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam. – Malaysiapost