Indira Gandhi mohon batal undang-undang tukar agama unilateral di 8 negeri

GURU tadika, M Indira Gandhi memulakan tindakan undang-untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa beberapa enakmen negeri yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara unilateral (sebelah pihak) tidak berperlembagaan.

Indira yang bertindak sebagai plaintif bersama-sama 13 yang lain memfailkan saman pemula tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu melalui firma Tetuan Raj & Sach.

Mahkamah Persekutuan pernah memutuskan kes pertikaian penukaran agama membabitkan anak Indira di mana pada pada 29 Januari 2018, ia memutuskan pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur, kepada Islam.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu selepas mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak Indira secara satu pihak oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah, (dahulu dikenali sebagi K. Pathmanathan), yang merupakan seorang mualaf.

Dalam saman pemula berkenaan, kesemua plaintif menamakan kerajaan negeri Perlis, Kedah, Melaka, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan selaku defendan

Mereka memohon deklarasi bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut plaintif, semua penukaran unilateral yang telah berlaku di
negara ini dari tarikh keputusan kes Indira di mahkamah persekutuan, adalah terbatal kerana melanggar peruntukan perlembagaan itu.

Plaintif memfailkan saman pemula itu dengan alasan bahawa, di bawah Perkara 12(4), agama seseorang individu di bawah umur 18 tahun hendaklah diputuskan oleh kedua-dua ibu bapa atau penjaganya.

Mereka menyatakan dengan keputusan kes Indira, sebarang penukaran kanak-kanak bawah umur kepada mana-mana agama secara unilateral tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapanya adalah tidak berperlembagaan.

Dakwa plaintif, bagaimanapun beberapa kerajaan negeri masih mengamalkan penukaran agama Islam secara unilateral kepada kanak-kanak melalui enakmennya.

Selain Indira, plaintif yang lain ialah pertubuhan Agamam Ani, bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), S Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team D. Arumugam.

Turut memfailkan saman adalah penduduk bagi negeri Perlis, P.Sathesh Kumar; S. Puveneshwaran (Kedah); A. Krishnan (Melaka) ; R.Sentul Kumaran (Negeri Sembilan); S. Sathy Vel Naidu (Pahang); M. Selvaraj (Perak); S. Sivaprakash (Johor) dan M. Ranjeet Kumar (Wilayah Persekutuan) serta mangsa kepada penukaran agama secara unilateral iaitu Aisyah Muhammad Ali dan Mimi Mastura Abdullah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights