Isyarat jelas akar umbi Umno sokong kerajaan perpaduan – Zahid

Isyarat jelas akar umbi Umno sokong kerajaan perpaduan – Zahid

PEMILIHAN Umno yang berakhir semalam membuktikan akar umbi dan perwakilan parti itu merestui dan menyokong kerajaan perpaduan. 

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga menunjukkan bahawa perwakilan parti menolak sebarang percubaan yang boleh mengganggu gugat parti serta meruntuhkan kerajaan sedia ada.

“Jelas daripada keputusan pemilihan sayap-sayap Umno di peringkat Parlimen dan nasional, ditambah dengan pemilihan peringkat bahagian memperlihatkan cubaan menggugat kerajaan adalah sesuatu yang boleh dielakkan.

“Ini terlihatkan bahawa kesatupaduan pemilihan terhadap kepimpinan Umno, dokongan daripada akar umbi sepenuhnya kepada keutuhan kerajaan,” katanya pada sidang media mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, di Menara Dato Onn, malam tadi 

Ahmad Zahid turut mengakui, walaupun ada usaha untuk menggugat kerajaan, ia jelas ditolak oleh para perwakilan.

“Lebih 190,000 perwakilan membuat pilihan, ini jelas sebagai satu signal bahawa unsur memecahkan Umno dari luar dan menyuntik perpecahan dari dalam Umno jelas adalah untuk meruntuhkan kerajaan bagaimanapun jelas mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkukuhkan dan kita amat yakin dokongan parti dalam Barisan Nasional dan rakan Sabah serta Sarawak.

“Maka kombinasi lebih 20 parti kerajaan dan diperkuatkan lagi kepimpinan baharu Umno, insya-Allah akan memperkukuh kerajaan perpaduan. Saya ucap terima kasih dan tahniah kepada kepimpinan terpilih.

“Kami berjanji bahawa kerajaan akan terus didokong oleh kami dan diperkukuh bersama rakan BN,” katanya. – Malaysiapost

Komen