OPERASI kantin sekolah pada Ramadan ini wajar berjalan seperti biasa berikutan tiada keperluan untuk menghentikannya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tidak ada masalah meneruskan pengoperasian kantin pada bulan Ramadan bagi menyantuni murid yang bukan Islam.
Menurutnya, adalah tidak wajar memaksa murid-murid untuk berpuasa jika melihat rakan-rakan mereka yang beragama Islam melakukan ibadat tersebut.
“Mereka pelajar bukan Muslim adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang melihat anak-anak orang Islam yang lain berpuasa tapi mereka tidak terlibat dalam ibadah ini, jadi mereka boleh lakukan aktivti mereka seperti biasa.
“Dalam konsep Malaysia Madani, kita hendaklah bersifat inklusif dalam menghormati bulan Ramadan, jadi kita perlu memaklumkan pada anak-anak bahawa Ramadan adalah bulan ibadah.
“Jadi untuk ‘non muslim’ ini juga perlu diberi ruang untuk mengikuti ibadah ini tapi dalam masa yang sama perlu disokong dan disantuni oleh pihak sekolah,” katanya ketika lawatan kerja sempena Pengoperasian Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) Secara Rintis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau di Lipis, hari ini.
Sementara itu, katanya, pelaksanaan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hendaklah dilaksanakan bermula pada hari pertama sesi persekolahan.
“Sekiranya terdapat isu yang menyebabkan RMT tidak dapat dilaksanakan pada hari pertama, sekolah perlu memaklumkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan kadar segera untuk tindakan pembetulan serta-merta,” katanya. – Malaysiapost