KERAJAAN bercadang memperkenalkan inisiatif Rahmah dalam sektor insurans bagi membolehkan rakyat menikmati kadar perlindungan yang lebih berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata setakat ini, sebuah syarikat sudah memberi maklum balas yang baik berhubung cadangan itu.
“Pertama yang beri maklum balas ialah syarikat Etiqa dan saya sudah meminta pegawai untuk mengadakan libat urus untuk kita melihat macam mana kita boleh kita jayakan inisiatif ini.
“Mungkin kita boleh tawarkan insurans Rahmah, sama ada (perlindungan) kenderaan, perumahan, hartanah dan seumpamanya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Salahuddin berkata, biarpun setakat ini hanya sebuah syarikat memberi maklum balas positif, beliau yakin lebih banyak syarikat akan turut serta apabila ia dilaksanakan.
Mengenai perancangan untuk memperkenalkan insiatif serupa dalam sektor perbankan, beliau akan meminta bantuan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk merealisasikan usaha berkenaan.
“Mungkin minggu depan, kita akan adakan libat urus dengan pihak perbankan pula,” katanya.
Terdahulu, beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadiri Kenduri Menu Rahmah, yang diadakan di Dewan Serba Guna Parlimen.
Kenduri anjuran KPDN itu membolehkan Ahli Parlimen merasai sendiri kualiti makanan yang ditawarkan menerusi insiatif Menu Rahmah, yang dilancarkan kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40. – Malaysiapost