MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) sedang meneliti cadangan agar diwujudkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ‘berbayar’ yang dirangka khas bagi segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata cadangan MRSM berbayar tersebut mungkin boleh diuruskan oleh MARA Corporation (MARA Corp).
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak sesekali boleh dikompromikan soal falsafah, orientasi dan budaya pendidikan yang menjadi ekosistem MRSM, termasuk kurikulum Ulul-Albab agar kualiti dan konsistensi penyampaian terpelihara.
“Saya percaya, wujud permintaan oleh ibu bapa golongan ini yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM bahkan sanggup menanggung kosnya walaupun mereka berkemampuan menghantar ke sekolah-sekolah elit swasta antarabangsa.
“Ini kerana MRSM terbukti satu jenama yang sudah terpahat dalam minda masyarakat sebagai institusi pendidikan yang unik dan berkualiti tinggi.
“Justeru saya minta MARA dan MARA Corp untuk memperhalusi cadangan ini secara holisitk bagi memenuhi segmen Masyarakat seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata memandang memandang serius dakwaan bahawa MRSM kini lebih mengutamakan golongan kaya.
Menerusi satu komen warganet di Facebooknya, MRSM dikatakan kini untuk golongan kaya dan bukan mereka yang kurang berkemampuan, sekali gus meminta Asyraf Wajdi mengambil tindakan.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, dalam taklimat khas daripada MARA Corp, beliau berkongsi pandangan mengenai keperluan badan tersebut sentiasa mencari peluang pelaburan dan perniagaan yang memberikan pulangan kepada MARA.
Katanya, dalam masa sama beliau turut menitikberatkan soal tadbir urus yang tinggi serta ‘barokah’ di dalam melaksanakan mandat MARA. – Malaysiapost