MARA harus tunai janji biayai pendidikan anak mangsa Tragedi Lahad Datu – Asyraf

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) harus menyempurnakan janji untuk membiayai pendidikan anak Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam tragedi Kampung Tanduo, Lahad Datu, 10 tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, harapan dan janji yang dilakukan oleh kepimpinan dan pengurusan MARA ketika itu perlu disempurnakan.

“Saya telah meminta Ketua Pengarah MARA agar dapat segera menyemak dan ambil tindakan segera terhadap keluhan balu tragedi Lahad Datu yang mendakwa agensi seperti MARA pernah menjanjikan untuk membiayai pendidikan tiga anaknya 10 tahun dulu,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, balu Allahyarham, Nooraziah Noor, 38, kini menagih sokongan pendidikan yang dijanjikan untuk tiga anaknya.

Beliau mendakwa sebelum ini, ada pihak termasuk agensi kerajaan seperti MARA menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anaknya.

Namun, menurutnya, ia tidak ditunaikan walaupun tragedi itu sudah hampir sedekad berlalu.

Nooraziah berkata, walaupun kehidupan mereka sekeluarga mencukupi namun masih mengharapkan janji tajaan pendidikan yang disuarakan oleh pihak tertentu.

Zulkifli dan Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud menjadi korban pertama tragedi di Lahad Datu pada 2013, selepas pertempuran antara pasukan keselamatan dengan kumpulan pengganas di Kampung Tanduo.

Zulkifli meninggalkan Nooraziah dan tiga anaknya yang masih kecil iaitu Noorakmal Amiruddin, ketika itu berusia lima tahun, Noor Muhammad Aqil, setahun dan Noor Aqib Syahid, masih dalam kandungan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights