Selangor utamakan imam tempatan, pelajar tahfiz sepanjang Ramadan

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menjelaskan larangan menggunakan khidmat imam luar negara bagi solat tarawih di semua surau dan masjid negeri itu sepanjang Ramadan telah ditetapkan sejak 2015.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia bagi memberi laluan sepenuhnya kepada imam tempatan, asatizah, graduan dan pelajar tahfiz tempatan yang menguasai al-Quran dengan baik serta mempunyai ilmu pengetahuan Fiqah sebagai imam.

Menurutnya, penglibatan anak tempatan dan pelajar keluaran sistem pendidikan JAIS dalam pelbagai disiplin ilmu agama sebagai imam solat tarawih dapat dijadikan sebahagian daripada medium latihan, pengukuhan, keyakinan dan outreach para huffaz bersama masyarakat.

“Ketetapan juga dibuat sebagai antara usaha menyediakan imam pelapis untuk mengisi keperluan imam di masjid dan surau di Selangor pada masa hadapan.

“Keputusan ini juga bagi mengatasi wujudnya segelintir individu atau pihak yang menjadi perantara menawarkan imam dari luar negara dengan kadar bayaran tertentu.

“Namun, dalam masa yang sama menyebabkan peminggiran imam sedia ada, imam tempatan dan para huffaz di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Shahzihan, terdapat juga situasi apabila kehadiran imam luar negara menimbulkan beberapa isu melibatkan perbezaan mazhab dalam pelaksanaan solat.

Katanya, selain itu, ada yang mengambil kesempatan mengutip derma untuk faedah dan manfaat orang Islam yang tidak mendapat kebenaran mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Jelasnya, keputusan berkenaan juga selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“JAIS sentiasa bekerjasama rapat dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dalam menyediakan huffaz untuk menjadi imam solat tarawih.

“Pihak masjid dan surau boleh menghubungi Bahagian Pendidikan Islam (BPI) JAIS untuk mendapatkan nasihat dan panduan mengenai perkara ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights